Mesyuarat PIBG SRA Pekan Bangi

Oleh Khai@BSP.

Sekolah Rendah Agama Pekan Bangi (SRA-PB) telah menyumbang kepada perkembangan dan pembelajaran anak-anak BSP sebelum wujudnya SRA-BSP. Terpanggil untuk mengetengahkan masalah SRA-PB yang mungkin ada lagi warga BSP/BM/TIP yang ingin membantu kepada kemudahan sekolah ini.

Masalah-masalah ini saya petik dari blog YB Dr Shafie Abu Bakar yang hadir merasmikan mesyuarat PIBG sekolah baru-baru ini. Kepada yang ingin menyumbang bolehlah terus berjumpa dengan guru besar atau melalui guru-guru.

Sumber: http://drshafie.blogspot.com/2010/03/mesyuarat-agung-sekolah-agama-sungai.html

Manakala Sekolah Agama Pekan Bangi yang mengadakan Mesyuarat Agung PIBG bagi kali ke 11 ini, mengalami perubahan dari dulunya sesak dengan murid-murid, kini agak selesa, kerana sebahagian dari murid-murid di sekolah ini berpindah ke Sekolah Agama Bandar Seri Putera yang dibuka pada akhir tahun 2009. Kini tinggal lebihkurang 400 orang murid dengan 17 orang guru. Sekolah ini menunjukkan prestasi yang baik dari segi pelajaran. Misalnya keputusan peperiksaan PSRA 2009 amat memberangsangkan dalam mana 6 orang pelajar mencapai peringkat mumtaz. Kita berharap dengan pertukaran Guru Besar yang baru dan dengan jumlah pelajar yang selesa dan persekolahan satu sesi (petang) semoga sekolah ini akan meningkat dari segi prestasi pelajaran dan yang lain.

Masalah yang dihadapi oleh sekolah ini sebagaimana ADUN berbincang dengan Pengerusi PIBG, iaitu saudara Zul Nor, oleh kerana sekolah ini agak tersorok ke dalam, terlindung dari pandangan dari jalan dan hampir tiada perumahan di sekelilingnya, maka sekolah ini sering diceroboh dan berkali-kali berlaku kecurian barang-barang. Misalnya komputer yang disumbangkan oleh ADUN Bangi dicuri, begitu juga dengan PA system juga kena curi, begitu juga dengan beberapa barangan lain turut dicuri, bahkan sistem wiring letrik juga dirosak dan dicuri. Ini menyebabkan sekolah mengalami puluhan ribu ringgit kerugian. Hari ini tabung pungutan diedar untuk mendapat dana bagi membeli PA sistem yang baru. Kita harap ianya tidak menjadi bahan curian pencuri lagi.

ADUN sebelum merasmikan Mesyuarat Agung melahirkan kerisauan dan mengharapkan langkah-langkah keselamatan diambil, seperti mengambil pengawal bekerja, guru atau pekerja tinggal di kawasan atau berhampiran sekolah dan tidak meninggalkan barang-barang berharga di sekolah. Sekolah ini juga mengalami kerosakan tandas. Yang dapat digunakan ialah 2 unit untuk murid-murid perempuan dan hanya satu unit untuk murid-murid lelaki. ADUN menggesa agak kerosakan ini perlu segera dibaiki.