PSRA 2012: Banyak Matapelajaran Menurun


YB Dr Halimah Ali mengumumkan keputusan PSRA 2012
di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun 2012 memperlihatkan sedikit penurunan di kebanyakan mata pelajaran yang diambil oleh pelajar berbanding tahun 2011.

Paling ketara adalah mata pelajaran Bahasa Arab, apabila menurun sebanyak 11.4 peratus, di mana pada tahun ini hanya 71.2 peratus calon lulus berbanding tahun 2011 iaitu seramai 82.6 peratus lulus.

Begitu juga dengan mata pelajaran Tauhid/Feqah, di mana hanya seramai 70.9 peratus lulus berbanding 78.9 peratus lulus pada tahun 2011.

Akhlak Sirah juga mengalami penurunan apabila tahun 2012 hanya 79.6 peratus lulus berbanding 84.2 peratus pada tahun 2011, Mata pelajaran lain termasuklah Tajwid, 2012 (70.3 peratus) berbanding (84.2 peratus) tahun 2011. Tilawah/hafazan juga menurun sebanyak 0.2 peratus daripada 99.6% (2011) berbanding 99.5% (2012).

Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) adalah peperiksaan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor kepada pelajar tahun enam Sekolah Rendah Agama dan KAFA dan KAFAI Negeri Selangor bagi menilai tahap penerimaan pembelajaran sukatan mata pelajaran yang diajar di samping membolehkan pelajar yang lulus melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Negeri Selangor serta Maahad Integrasi Tahfiz Istana Banda (MITIB) dan Maahad Integrasi Sains dan Teknologi (MISTEK) Negeri Selangor.

Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) telah diadakan pada 6 November, 2012 di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri Selangor) di Shah Alam yang telah disempurnakan oleh YB Dr. Halimah binti Ali, EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang turut dihadiri oleh Ustaz Ahmad Bustamam bin Abduil Latif, Ketua Sektor Akademik, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor.

Sumber:
Unit Perhubungan Awam, © mbs
Jabatan Agama Islam Selangor