PERUTUSAN SEMPENA HARI GURU
Y.A.B. TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN
Assalamu’alaikum w.b.t. dan selamat sejahtera.
Saban tahun kita menyambut Hari Guru pada tarikh 16 Mei. Pemilihan tarikh ini adalah sempena penerimaan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara kita oleh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1956. Laporan ini kemudiannya dikenali sebagai Laporan Penyata Razak.
Tema sambutan yang dipilih bagi tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa, sesuai dengan peranan guru sepanjang masa; sebagaimana pernah diungkapkan oleh Sasterawan Negara kita, allahyarham Usman Awang:
Jika hari ini…
Seorang Perdana Menteri yang berkuasa,
Seorang Raja yang menaiki takhta,
Seorang Ulama’ yang mulia,
Seorang Peguam menang bicara,
Seorang penulis terkemuka,
Siapa saja yang menjadi dewasa,
Sejarah mereka dimulakan oleh seorang guru biasa dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Apa yang penting untuk dihayati daripada sejarah Hari Guru dan tema sambutan yang telah dipilih untuk tahun ini ialah sebagaimana yang pernah tertera pada Perenggan 12 Laporan Penyata Razak iaitu “tujuan dasar pelajaran ini bermaksud untuk menyatukan pelajar pelbagai bangsa di negara ini…”.
Setiap manusia itu semuanya dilahirkan dengan potensi dan inilah yang diusahakan setiap guru tanpa mengira kaum, pangkat, harta dan pegangan agama. Kualiti pendidikan adalah jalan terbaik mengangkat kemuliaan insan dan kepada para guru kita sandarkan harapan untuk membina generasi semasa dan akan datang yang lebih baik.
Kita berada di zaman yang cukup mencabar tetapi kita tidak akan mengalah. Cabaran yang hadir hanya menguatkan tekad kita untuk memberikan yang terbaik. Di Selangor, kita telah berusaha dengan segala keterbatasan yang ada untuk memberi bantuan pendidikan kepada semua dengan tumpuan khas kepada mereka yang kurang berkemampuan. Pada tahun 2009, selain daripada sumbangan lebih RM 15 juta kepada sekolah pelbagai aliran, puluhan juta lagi disalurkan melalui pelbagai program misalnya Hari Ilmu dan Gerakan Membaca Perdana Negeri Selangor yang dibuat baru-baru ini, latihan pendidikan dan kemahiran. Selangor akan terus meningkatkan usaha mendorong kesuburan persekitaran pendidikan.
Marilah kita bersama mengucapkan penghargaan kepada para guru untuk segala jasa-baik mereka. Ingatlah bahawa “berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi”. Hormatilah guru sebagai sebahagian adab menuntut ilmu.
Selamat Hari Guru. Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR