|
|
KANGAR 16 Feb. - Khidmat warden trafik sekolah yang membantu murid-murid melintas jalan secara selamat dan terkawal ketika waktu puncak di hadapan sekolah, cukup disanjungi oleh ibu bapa sendiri.
Tiga waktu puncak lalu lintas sibuk bagi jalan-jalan utama yang dimaksudkan itu ialah sebelah pagi, tengah hari dan petang.
Rata-rata ibu bapa menganggap langkah pihak sekolah menyediakan khidmat warden trafik sebagai satu tindakan bijak bagi menjaga keselamatan murid-murid ketika melintas jalan.
Seorang waris pelajar, Asmawati Ramly, 36, berharap khidmat tersebut dapat diteruskan kerana ia lebih meyakinkan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak sewaktu melintas jalan di hadapan sekolah.
"Kita sedia maklum tidak semua pengguna jalan raya berdisiplin, terutama ketika memandu di hadapan sekolah kerana mereka mengejar waktu dan sesetengahnya lebih mengutamakan diri.
"Apabila ada khidmat warden trafik yang menolong murid-murid melintas, ibu bapa lebih yakin terhadap keselamatan anak-anak mereka ketika menyeberangi jalan," ujar ibu kepada dua anak itu.
Che Puan Ismail, 42, turut menghargai semua pihak yang menyediakan khidmat warden trafik sekolah di negeri ini sejak beberapa tahun lalu sambil berharap para pengguna jalan raya dapat mematuhi arahan warden terlibat.
"Semua pengguna perlu mematuhi pandu arah warden trafik itu. Ia bukannya lama dan susah untuk memberhentikan kenderaan bagi membolehkan murid-murid melintas di hadapan sekolah," ujarnya.
Ibu kepada dua anak itu juga bersetuju jika individu yang enggan memberhentikan kenderaan sehingga membahayakan murid ketika melintas dikenakan tindakan saman lalu lintas.
Zakaria Sudin, 62, turut menganggap khidmat warden trafik sesuai dengan tuntutan semasa, terutama bagi sekolah-sekolah yang terletak di tepi jalan-jalan utama.
"Warden trafik penting untuk keselamatan murid kerana kenderaan kian banyak. Berbeza dengan zaman saya ke sekolah dulu. Maklumlah ketika itu zaman berbasikal," ujarnya ketika ditemui sewaktu menunggu untuk mengambil cucunya pulang dari Sekolah Kebangsaan Behor Mali di sini.
Said Jusoh, 65, yang sependapat dengan Zakaria, mahu khidmat warden trafik diperluaskan ke setiap sekolah yang terletak di tepi jalan dari semasa ke semasa.
"Buat masa kini, warden trafik cuma ada di sekolah-sekolah yang terletak bersebelahan jalan-jalan utama. Kalau boleh, setiap sekolah mempunyai kemudahan tersebut.
"Warden trafik pula kenalah memakai pakaian seragam yang dibekalkan oleh JKJR agar mereka lebih dihormati oleh para pengguna jalan raya itu sendiri," ujarnya.