Amal Islami Di Sekolah Agama Integrasi
Sumber: http://drshafie.blogspot.com/2011/05/amal-islami-di-sekolah-agama-integrasi.html
Amal Islami ialah program tahunan yang diadakan di setiap daerah. Bagi Daerah Hulu Langat, maka Program Kemahiran Amal Islami 2011 pada kali ini diadakan di Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi. Program ini disertai Sekolah Rendah Agama, Sekolah Rendah Agama Integrasi dan Kafa Integrasi seluruh Hulu Langat yang jumlah Sekolah berkenaan di Hulu Langat 92 buah, tetapi hanya separuh daripadanya sahaja yang mengambil bahagian. Sekolah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi dipilih kerana kemudahan yang ada di Sekolah tersebut seperti dewan yang sesuai, kawasan yang luas dan suasana yang kondusif.
Hadir ke Majlis Amal Islami pada tengahari ini, selain dari Adun Bangi ialah YB Dr. En. Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Ustaz Bong Salleh bin Adnan Pengerusi sambutan, Dr. Zainuddin Pengerusi PIBG, Ustaz Razak Ishak Guru Besar Sekolah Rendah Agama Integrasi BBB, Guru-guru. Ibu bapa dan tamu-tamu jemputan.
Ustaz Bong Salleh dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa program yang diadakan secara tahunan ini adalah bertujuan untuk mencungkil dan mengenengahkan bakat-bakat tempatan ke peringkat yang lebih tinggi . Diharap mereka kekal kehadapan dengan benteng pendidikan keagamaan dan menjadi generasi pelapis akan datang.
Kegiatan dan pertandingan adalah melibatkan peraduan pidato, solat Jumaat, solat jenazah, azan dan iqamah, syarahan bahasa Melayu, bercerita berbahasa Inggeris, kuiz, oral speaking, kalam jama`I, nasyid, hafazan dan terjemahan, bercerita dari al-Qur`an, menulis khat, muhawarah, , hafazan dan tafsir, khutbah Jumaat, syarahan berbahasa Arab, rawi dan menghaban, tilawat al-Qur`an dan sebagainya.
Adun dalam ucapan perasmian berterima kasih kepada pihak penganjur Program Kemahiran Amal Islami, kerana menjemput Adun bersama dalam majlis. Program Amal Islami menurut Adun, bukan sekadar mencungkil bakat, tetapi merupakan praktikal dari sebahagian apa yang dipelajari di Sekolah. Bahkan bagi setengah kegiatan boleh dikembang dan boleh dijadikan kerjaya pada masa hadapan.
Kesempurnaan bacaan al-Qur`an misalnya bukan saja mampu mengajar, tetapi boleh dibuka kelas al-Qur`an dan sebagainya, kemampuan bernasyid boleh membuka ruang bagi penubuhan pasukan nasyid professional dan sebagainya. Pendeknya program Kemahiran Amal Islami memupuk kegiatan budaya Islami yang sihat.
Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah dan cenderamata oleh Adun, YB Dr. Che` Rusli dan Ustaz Bong Salleh.