Maulidur Rasul Bukan Sekadar Berarak - YB Yaakop Sapari


Menjelang Rabiu’awwal, menjadi kemestian dimana umat Islam akan menyambut hari tersebut dengan pelbagai cara dan gaya. Lazimnya, di desa dan kampung, sambutan diadakan dengan majlis berzanji dan membaca rawi. Semua sanak saudara, rakan-taulan dijemput bersama-sama menghadiri majlis tersebut. Pastinya ia sesuatu yang cukup bermakna.

Di bandar pula, umumnya mengetahui bahawa sambutan Maulidir Rasul ini, pasti bertambah meriah dengan disertai perarakan. Ribuan manusia akan berarak dari satu tempat ke tempat yang lain dalam suasana yang begitu menggembirakan. Dalam hal ini, baik muda mahupun tua, semuanya bersemangat untuk tidak melepaskan peluang turut serta dalam perarakan tersebut.

Persoalannya, mengapa majlis berzanji dan perarakan ini diadakan sempena maulid nabi? Mengikut sejarah, sememangnya budaya ini tidak pernah disambut pada zaman Rasulullah. Mana tidaknya, Rasulullah senantiasa ada bagi membincangkan persoalan agama sekaligus menyempurnakan agama ketika itu. Hanya pada zaman fatimiyyah, setelah berlalu tempoh yang panjang di kala umat Islam mula melonggarkan ajaran agama, maka timbul idea dari pemimpin-pemimpin Islam ketika itu untuk mengadakan hari-hari tertentu bagi mengajak umat Islam kembali memahami ajaran agama. Dalam kaitan ini, maka memperingati hari Israk dan Mikraj, sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya telah diadakan.

Oleh yang demikian, hari-hari penting dalam Islam kini telah disambut dengan pelbagai cara antaranya dengan mengadakan ceramah, kuliah, seminar, perarakan dan pelbagai lagi. Cuma, wajarkah sambutan Maulidur Rasul itu disambut dengan perarakan besar-besaran sehingga menelan belanja begitu besar bagi menghadapinya? Dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang enggan mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Hal ini menimbulkan kekecohan dalam masyarakat sehingga ramai yang mengkritik dan tidak kurang juga yang memuji. Lebih mendukacitakan, mengapa kita lebih menitik-beratkan hal yang hanya cabang dalam agama berbanding hal yang lebih berat seperti masalah akidah dan keruntuhan akhlak yang masih kitikal pada masa kini.

Pada hemat saya, perarakan bukanlah jalan terbaik dalam menyambut sambutan Maulidur Rasul. Kerana rata-rata masyarakat hanya memahami ‘kulit’ berbanding ‘isi’. Apa tujuan perarakan tersebut? Adakah dengan perarakan dengan berpakaian berwarna-warni yang disertai selawat beramai-ramai, mengibarkan pelbagai cogan kata pujian di sepanduk-sepanduk itu mampu memperingatkan kita kepada Baginda Rasul junjungan?

Dalam hal ini, cara sebenar memperingati Rasulullah adalah melalui penghayatan. Penghayatan di sini bermaksud, penghayatan mengenai syariat. Dalam kerangka yang lebih besar, syariat yang dimaksudkan adalah dari sudut akhlaq, sahsiah, budaya, perundangan, pendidikan dan lain-lain. Mengapa sehingga kini, penghayatan dalam semua elemen tadi tidak dipraktikkan? Walhal, ini adalah sunnah (ikutan) yang diajar oleh Baginda Nabi. Jika penghayatan syariat ini masih kabur dalam pengamalan masyarakat, maka tidak hairanlah seandainya rasuah, salah guna kuasa dan pelbagai penyelewengan masih berlaku sekarang ini.

Justeru, perarakan tidak boleh dijadikan kayu ukur kecintaan kepada Rasulullah. Bagi menghindari taqlid buta yang diamal dalam masyarakat, maka, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memberi kefahaman melalui program-program ilmiah yang disusun melalui masjid dan surau. Tambahan pula, bulan Rabiu’awwal merupakan bulan menyambut kelahiran Baginda, justeru, amat wajar umat Islam memperbanyak selawat ke atas Baginda. Firman Allah Taala ”sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat ke atas nabi..,” (Al-Ahzab: 56)

Tambahan pula, majlis bacaan kitab sirah, seperti kitab Syamaail Muhammad karangan Imam Tarmizi, yang mengisahkan secara mendalam tentang hal keperibadian Rasulullah sewajarnya diadakan bagi memberi kefahaman sebenar kepada Umat Islam agar mereka lebih mencintai Rasulullah dan mengambil pengajaran dari perjuangan Baginda melalui pendekatan pendidikan berbanding perarakan semata-mata yang wajar dijauhi.

EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar